Sunday, September 6, 2009

Aura Ramadan suburkan sedekah

Utusan.com.my 040909
Oleh HAMIZUL ABDUL HAMID
bubur lambuk Kampung Baru, Kuala Lumpur diadakan hasil sedekah orang ramai.
MENJELANG Ramadan, maka antara perkara yang sering diingati oleh umat Islam ialah amalan sedekah dan zakat. Sebenarnya, zakat juga adalah sedekah; namun ia adalah sedekah yang wajib. Misalnya Allah SWT menyatakan: "Ambillah sebahagian daripada harta mereka sebagai sedekah" (at-Taubah: 103), maka makna 'sedekah' di sini adalah zakat. Begitu juga apabila Allah SWT menyatakan: "Sesungguhnya sedekah itu adalah untuk fakir, miskin, amil, muallaf…" (at-Taubah: 60), maka sekali lagi, 'sedekah' yang dimaksudkan oleh Allah SWT di sini ialah zakat.
Oleh itu, kita dapat membahagikan amalan sedekah di bulan Ramadan ini kepada dua, iaitu sedekah sunat dan sedekah wajib (zakat). Sedekah sunat memang sudah menjadi sesuatu yang sebati, khususnya di dalam jati diri masyarakat Melayu-Islam.
Misalnya, jika di kampung-kampung, amalan memberi sedekah walaupun sepiring kuih atau pengat pisang, memang diamalkan sejak turun-temurun. Natijahnya, apabila jiran saling bertukar juadah, maka makin suburlah ukhuwah. Inilah hebatnya aura sedekah.
Namun begitu, arus pemodenan semakin menghakis budaya atau amalan saling bertukar juadah yang berupa sedekah ini. Masyarakat Melayu-Islam yang tinggal di bandar besar, makin sibuk untuk menghulurkan walau sepiring cekodok pisang kepada jiran di sebelah pagar atau jiran yang berkongsi dinding dengannya.
Sedangkan, mereka tinggal di rumah teres atau apartmen, yang masing-masing berkongsi dinding, lantai bahkan bumbung. Maka, inilah cabaran kehidupan moden dalam mengekalkan tradisi bersedekah khususnya di bulan Ramadan.
Di samping itu, kita juga seharusnya merebut pahala yang lebih besar dan utama sepanjang Ramadan ini dengan memberi makanan kepada orang yang berbuka puasa.
Ironinya, senario ini lebih subur di kawasan bandar dan ia agak asing jika di kampung. Agaknya, inilah pula kelebihan di bandar besar. Pengalaman penulis sendiri saat belajar sehingga berkerja di Kuala Lumpur, sempat beberapa kali berbuka puasa secara percuma di beberapa buah masjid beramai-ramai dan ia amat meriah.
Masjid-masjid ini pasti telah mendapat tajaan daripada individu mahu pun syarikat umat Islam yang pemurah, sehingga mereka mampu menyediakan makanan kepada umat Islam dalam jumlah yang besar setiap hari.
Dalam menegaskan hal keutamaan memberi makan orang berbuka puasa ini, Nabi Muhammad SAW sendiri menyatakan: "Sesiapa yang memberi makan kepada orang yang berbuka puasa, maka dia akan beroleh pahala seperti mana pahala orang yang berpuasa itu tanpa pahala orang itu dikurangi sedikit pun," (riwayat Ahmad, an-Nasai, Termizi, Ibn Majah dan Darimi dan disahihkan oleh al-Albani)
Namun, bagaimana pula dengan amalan moreh, iaitu memberi makan kepada umat Islam di masjid dan surau setelah mereka mendirikan solat Tarawih? Sebenarnya, amalan ini bukanlah sesuatu yang dipraktikkan pada zaman Rasulullah SAW.
Tradisi orang Melayu
Tiada satu pun hadis yang menunjukkan nabi dan para sahabatnya makan beramai-ramai atau nabi menganjurkan agar diberi makan kepada orang yang sudah bertarawih. Bahkan, amalan ini lebih merupakan tradisi orang Melayu di negara ini sahaja. Ia tidaklah dijadikan amalan lazim walau di negara-negara Arab sendiri.
Namun, kita mungkin boleh mengambil sudut pandangan yang positif dalam hal moreh ini. Sesungguhnya, majlis moreh ini adalah tradisi yang sekian lama telah diamalkan di kampung-kampung.
Bahkan jika di kampung, masjid atau surau telah menyediakan satu jadual khas yang tertera seluruh nama ketua rumah di kampung berkenaan dan juga tarikh mereka perlu membawa juadah ke masjid atau surau sebagai moreh. Maka, dari satu sudut mungkin tradisi ini sesuai diamalkan di kampung, justeru amalan menjamu orang berbuka puasa adalah amat jarang dilakukan.
Dari satu aspek lain, dengan adanya juadah yang dinamakan moreh ini, ia menjadi 'umpan' bagi menarik anak-anak remaja dan orang-orang muda agar lekat di masjid sehinggalah tamat 23 rakaat solat tarawih dan witir.
Bahkan, amalan moreh ini juga mampu mendekatkan ukhuwah di kalangan penduduk kampung. Namun, janganlah sampai jamuan moreh ini membazir pula, maklumlah masing-masing sudah kekenyangan waktu berbuka puasa.
Di samping itu, moreh juga sepatutnya tidak membebankan umat Islam, memandangkan ia bukanlah suatu sunnah yang menjadi keutamaan di bulan puasa.
Timbul persoalan, kenapakah umat Islam menjadi begitu pemurah pada bulan Ramadan? Ada orang yang kedekutnya bukan main pada bulan-bulan lain, namun menjadi pemurah pula di bulan Ramadan.
Malah ada yang begitu mudah melakukan amal kebaikan termasuklah bersedekah. Setiap hari tidak lokek menghantar pisang ke masjid atau menaja bubur lambuk.
Bagi menjawab soalan ini, bukankah Nabi Muhammad SAW ada menyatakan: "Apabila tiba bulan Ramadan, dibukakan pintu-pintu syurga dan ditutup pintu-pintu neraka dan syaitan akan dirantai semuanya." (riwayat Bukhari, Muslim, Nasai, Ahmad dan Baihaqi)
Hadis ini hakikatnya adalah suatu simbolik, bahawa sepanjang Ramadan manusia secara alaminya akan terdorong menjadi baik. Sebab itulah kita mampu melihat ada orang yang malas solat sebelum Ramadan, namun berubah menjadi rajin bahkan tidak meninggalkan solat tarawih.
Ada muslimah yang tidak menjaga aurat pun akan mengenakan busana yang lebih sopan sepanjang Ramadan. Bahkan ada kaki rokok akan menjadikan Ramadan sebagai detik awal bagi mereka menghentikan tabiat merokok. Kerana apa? Ya, kerana aura Ramadan yang mulia dan begitu kuat telah mendorong kita agar menjadi lebih lunak mentaati Allah SWT, termasuklah dalam bab bersedekah ini.
Dalam sebuah hadis Nabi Muhammad SAW ada menyatakan: "Sebaik-baik sedekah adalah pada bulan Ramadan" (riwayat Termizi)
Kehebatan sedekah Ramadan
Kemudian, mari kita telusuri lagi kehebatan amalan bersedekah di bulan Ramadan ini. Di dalam kitab Mustika Hadith, ada dicatatkan sebuah hadis, Nabi Muhammad SAW ada menyatakan: "Sesiapa mendekatkan dirinya (kepada Allah pada bulan Ramadan) dengan mengerjakan amalan fardu, seolah-olah dia sudah mendapat 70 pahala fardu pada bulan lain. Sesiapa mendekatkan dirinya dengan amalan sunat, seolah-olah dia mendapat pahala amalan fardu pada bulan yang lain." (riwayat Ibn Khuzaimah)
Hakikatnya, hadis ini adalah suatu motivasi paling hebat yang mampu mendorong kita untuk meningkatkan amalan bersedekah sepanjang Ramadan. Bayangkan, jika kita memberikan derma ke tabung masjid sebanyak RM1,000, maka ia akan diberikan pahala seolah-olah kita sudah berzakat RM1,000.
Tetapi, jika kita benar-benar menunaikan zakat RM1,000, maka di sisi Allah SWT kita seolah-olah sudah menunaikan zakat sebanyak RM70,000. Amat besar ganjarannya di sisi Allah dan sudah pasti kita tidak patut melepaskan peluang keemasan ini.
Sehubungan dengan itu, maka tepatlah Ramadan ini menjadi sebuah sekolah tarbiah rohani yang terbaik buat kita, yang disediakan oleh Allah SWT.
Ini kerana, pada bulan inilah kita benar-benar menghayati pelbagai amalan sunat khususnya dalam bab meraikan sedekah dan zakat.
Mudah-mudahan, setelah 30 hari dilentur nafsu kita dan 30 malam dicanai rohani kita melalui qiyamullail, maka kita akan benar-benar menjadi hamba Allah yang bertakwa.
Sebagaimana yang disabdakan oleh Rasulullah SAW: "Maka sesiapa yang berpuasa (di siang hari) dan malamnya mendirikan qiam dengan penuh keimanan dan kebersihan hati (ihtisabaan), maka akan dihapuskan dosa mereka seperti mana pada hari mereka diperanakkan." (riwayat Ahmad dan an-Nasai). Wallahua'lam.

Persoalan Agama: Doa kurang jelas tidak perlu diaminkan

Bharian.com.my 060909
Oleh Ustaz Zahazan Mohamed
Ucapan dituntut selepas bacaan al-Fatihah ketika solat, khutbah Jumaat Soalan:Apakah hukum jika kita tidak mendengar imam membaca doa kerana suaranya perlahan. Perlukah kita mengaminkannya. Ahmad Faiz Jawapan:Amin berasal daripada kata kerja ammana, bermaksud Ya Allah! perkenankanlah. Menurut Syeikh Bakar Abdillah Abu Zaid dalam kitab Tashih al-Du'a, lafaz amin disyariat untuk diucapkan selepas doa kerana ia permintaan yang diringkaskan dalam doa sebelum itu.
Antara kehebatan umat Islam seperti sabda Nabi SAW bermaksud: "Tidaklah masyarakat Yahudi rasa hasad terhadap kamu dalam sesuatu urusan melebihi hasad mereka kepada amin dan ucapan salam antara kamu." (Riwayat Ahmad, Ibn Majah dan al-Bukhari dalam al-Adab al-Mufrad) Antara kelebihan mengucapkan amin seperti dilihat dalam hadis riwayat al-Hakim dalam al-Mustadrak, dinyatakan bahawa amin pendengar terhadap doa diucapkan antara faktor yang menjadikan doa diterima Allah SWT. Hadis ini jelas menggambarkan ketinggian ucapan amin. Dalam hadis berkaitan Ramadan, Nabi SAW dikisah mengucapkan amin secara jelas tiga kali ketika menaiki tiga anak tangga mimbar menyebabkan sahabat menanyakan mengapa mengucap amin sedangkan di sekitar mereka tidak ada yang berdoa? Lalu Rasulullah SAW menceritakan amin yang diucapkannya kerana doa Malaikat Jibril yang tidak kedengaran oleh mereka." (Riwayat Ahmad dan Al-Bazzar)
Dalam hadis diriwayatkan Ibn Jarir mentafsirkan ayat terakhir surah al-Baqarah yang terdiri daripada doa hebat, setiap perenggan ayat itu apabila Jibril menyampaikannya kepada Nabi, maka Nabi mengucapkan amin sebagai reaksi naluri yang memohon rahmat dan kasih Allah atas kesilapan diri. Ayat itu adalah: "Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau menganggap kami salah jika kami lupa atau kami tersalah. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau bebankan kepada kami bebanan yang berat seperti Engkau bebankan kepada orang terdahulu daripada kami. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau pikul kepada kami apa yang kami tidak terdaya memikulnya dan maafkanlah kesalahan kami serta ampunlah dosa kami dan berilah rahmat kepada kami. Engkaulah penolong kami; oleh itu, tolonglah kami untuk mencapai kemenangan terhadap kaum kafir." Kedua-dua hadis tadi menunjukkan Nabi SAW mengucapkan amin dengan kuat sehingga didengar orang lain. Dalam pelaksanaan solat juga, contohnya ketika membaca al-Fatihah yang dimulakan dengan menyebut nama Allah SWT lalu memuji dan menyebut sifat-Nya serta kekuasaan-Nya, akhirnya berdoa dengan permintaan diberi petunjuk ke jalan lurus. Selepas itu disyariatkan menyebut lafaz amin, demikian pula dalam solat berjemaah, apabila imam membaca al-Fatihah dengan nyaring, jemaah harus membaca amin bahkan kalau dapat serentak dengan imam. Daripada Abu Hurairah berkata Rasulullah SAW bersabda: "Apabila imam membaca amin, hendaklah kalian membaca amin. Sesungguhnya siapa yang bacaan aminnya bertepatan dengan amin malaikat, dosanya akan diampuni." (Riwayat al-Bukhari-Muslim) Selain itu, ulama empat mazhab bersependapat jemaah disunatkan mengucapkan amin secara nyaring apabila doa diucapkan khatib dalam khutbah Jumaat. Bagi mazhab Hanafi memadailah ucapan amin dilakukan dalam hati. Berpandukan dalil ucapan amin, kita membuat kesimpulan dituntut mengungkapkan amin secara terang dan jelas menerusi dua keadaan.
Pertama, dalam solat sama ada secara bersendirian atau mengikut imam selepas membaca al-Fatihah dan dalam doa qunut. Kedua, di luar solat juga dituntut mengucapkan amin yang bermakna ya Allah perkenankanlah hajat kami apabila mendengar doa dilafazkan termasuk ketika doa diucapkan imam membabitkan khutbah Jumaat atau solat Istisqa (minta hujan) gerhana dan lain-lain. Dalam konteks soalan saudara, saya berpendapat tidak dituntut mengaminkan doa kurang jelas dan tidak dapat difahami maksudnya atau tidak mengetahui latar belakang imam. Jika imam salih lagi berilmu yang dikenali, tiada masalah mengaminkan doanya dengan mengambil contoh amalan dan petunjuk Rasulullah SAW ketika mengaminkan doa.

Ulul Albab: Nuzul al-Quran pedoman hayati kitab suci

Bharian.com.my 060909
Oleh Abdurraham Haqqi
Kandungan kitab Allah lengkap dengan penawar, petunjuk urus kehidupan MALAM ini umat Islam secara rasmi kenegaraan mahu pun tidak akan meraikan tahun ke-1413 sempena diturunkan ayat pertama al-Quran yang diwahyukan Allah SWT kepada Nabi Junjungan kita, Muhammad SAW di Gua Hirak. Keraian ini sebagai bukti zahir kecintaan kita kepada kitab petunjuk, al-Quran. Dengan meraikannya diharapkan kita selalu ingat dan dekat dengannya, merujuk kepadanya jika menghadapi kesusahan hidup dan kekal menjadikannya panduan hidup sama ada sebagai individu atau masyarakat. Antara kata hikmah yang disinarkan al-Quran daripada diri seseorang yang membaca, memahami dan mentadabburinya ialah ucapan khalifah Abu Bakar al-Siddiq seperti ditulis al-Mahasibi dalam kitabnya Risalah al-Mustarshidin: "Bertakwalah kepada Allah dengan cara mentaati-Nya, dan taatlah kepada Allah dengan bertakwa kepada-Nya. Tahanlah tanganmu daripada menumpahkan darah kaum Muslimin dan perutmu daripada memakan harta mereka, serta lisanmu daripada mencela kehormatan mereka."
Tali al-Quran yang mengikat Abu Bakar sejak masuk Islam menjadikan beliau graduan berjaya yang mengamalkan apa yang dia dapat daripada membaca, memahami dan mentadabburinya. Abu Bakar termasuk orang terawal mendengar al-Quran dan menerimanya sebagai kalam Allah. Membaca al-Quran dan mentadabburinya, mendalami isinya dan merenungi kandungan ayatnya ialah perkara yang dapat dijadikan cara untuk meraih kebahagiaan dan kelapangan hati. Allah menyifatkan kitab-Nya itu sebagai petunjuk, cahaya dan penawar penyakit atas semua yang ada di dalam dada. Allah juga menyifatkannya sebagai rahmat. Dengan penyebutan kata quran 71 kali oleh al-Quran dan 50 daripadanya ialah kata tunggal al-quran seperti dipaparkan mesin pencari Pocket Quran adalah satu bukti kebesaran nama al-Quran sendiri. Ini belum lagi sebutannya dalam bentuk kata dhamir seperti anzalnahu (Kami menurunkannya), atau nama lain seperti al-Kitab, al-Furqan dan al-Huda.
Al-Quran memperkenalkan diri dengan di dalamnya tidak ada keraguan seperti menerusi ayatnya bermaksud: "Kitab al-Quran ini, tidak ada sebarang syak padanya (mengenai datangnya daripada Allah dan kesempurnaannya pula menjadi petunjuk bagi orang yang (hendak) bertakwa." (Surah al-Baqarah: 2) Al-Quran memperkenalkan dirinya sebagai petunjuk dalam ayatnya bermaksud: "Sesungguhnya al-Quran ini memberi petunjuk ke jalan yang amat betul (agama Islam), dan memberikan berita yang menggembirakan orang yang beriman yang mengerjakan amal salih, bahawa mereka beroleh pahala yang besar. Dan orang yang tidak beriman kepada hari akhirat, Kami sediakan bagi mereka azab seksa yang tidak terperi sakitnya." (Surah al-Israk: 9) Al-Quran bukan hanya petunjuk kepada sesuatu kaum tetapi kepada umat manusia seluruhnya ke jalan amat lurus. Ia wajib dipegang dan ditaati dengan wajib meninggalkan kitab lain agar tidak tersesat. Al-Quran memperkenalkan dirinya sebagai pelajaran dan penawar semua penyakit di dalam dada menerusi ayatnya bermaksud: "Sesungguhnya sudah datang kepadamu sebuah pelajaran daripada Tuhanmu dan penyembuh bagi penyakit (yang berada dalam dada)." (Surah Yunus: 57)
Al-Quran memperkenalkan dirinya sebagai ubat penawar dan rahmat dalam ayatnya bermaksud: "Dan Kami turunkan dengan beransur-ansur daripada al-Quran, ayat suci yang menjadi ubat penawar dan rahmat bagi orang yang beriman kepadanya, dan (sebaliknya) al-Quran tidak menambahkan orang yang zalim (disebabkan keingkaran mereka) melainkan kerugian." (Surah al-Israk: 82) Al-Quran memperkenalkan dirinya sebagai sesuatu yang mempunyai keberkatan dalam ayatnya yang bermaksud: "(Al-Quran) ini kitab yang Kami turunkan kepadamu (dan umatmu wahai Muhammad) yang penuh dengan berkat supaya memperhatikan ayatnya dan untuk orang yang berakal sempurna beringat mengambil iktibar." (Surah Sad: 29). Berkat dalam ayat ini bermakna banyak faedah dan manfaat. Demikianlah beberapa pengenalan yang disampaikan al-Quran mengenai dirinya yang tidak ada syak atas kebenarannya, petunjuk, pelajaran, penawar, rahmat dan berkat. Ketika seseorang menerima pelawaan perkenalan diri al-Quran ini kemudian menjadikannya sebagai teman sepanjang hayat dalam apa juga keadaan, lahirlah peribadi dan masyarakat 'khaira ummah', atau sebaik-baik umat (Surah Ali Imran: 110) yang dibuktikan pada zaman Nabi SAW dan sahabat Baginda. Al-Syahid Sayyid Qutb dalam pendahuluan Fi Zilal al-Quran menulis bahawa hanya al-Quran saja yang menjadi sumber panduan mereka, perjalanan hidup dan gerak-geri mereka. Ini bukan kerana umat manusia pada zaman itu tidak punya tamadun, kebudayaan, pelajaran, buku atau kajian kerana sebenarnya pada zaman itu sudah ada tamadun dan kebudayaan Romawi, buku dan undang-undangnya, yang sudah dan masih dijadikan panduan orang Eropah sampai hari ini. Di sana juga sudah wujud peninggalan tamadun Yunani (Greek), ilmu mantiknya, falsafah dan kesenian yang juga masih menjadi sumber pemikiran Barat hingga sekarang, malah di sana juga wujud tamadun dan peradaban Parsi, kesenian, sajak, syair dan dongeng, kepercayaan dan sistem perundangannya, serta tamadun lain, seperti India, China. Romawi dan Parsi berada di sekeliling Semenanjung Arab, sama ada di utara atau selatan, ditambah agama Yahudi dan Nasrani yang sudah wujud di tengah semenanjung itu sejak berapa lama dulu. Jadi bukan faktor kekurangan tamadun dan kebudayaan duniawi yang menyebabkan generasi pertama itu menceduk daripada Kitab Allah (al-Quran) saja pada peringkat pertumbuhan mereka, tetapi ialah planning yang ditentukan dan program yang diatur. Dalil yang terang atas keadaan ini ialah kemurkaan Rasulullah SAW ketika beliau melihat Saidina Umar al-Khattab RA memegang sehelai kitab Taurat. Melihat keadaan ini Baginda bersabda yang bermaksud: "Demi Allah jika Nabi Musa masih hidup bersama kamu sekarang pun, tidak halal baginya melainkan mesti mengikut ajaranku." (Hadis riwayat Abu Ya'la). Oleh itu, kesimpulannya Rasulullah SAW bermaksud dan mengarahkan sumber panduan dan pengajaran generasi pertama itu pada peringkat pertumbuhan lagi, hanya terbatas kepada kitab Allah (al-Quran) supaya jiwanya melurus ke arah program-Nya yang tunggal itu. Baginda murka melihatkan Umar cuba mencari panduan daripada sumber selain al-Quran. Rasulullah SAW bertujuan membentuk satu generasi bersih hati, pemikiran, pandangan hidup, perasaannya dan murni jalan hidupnya daripada unsur selain landasan Ilahi yang terkandung dalam al-Quran. Pepatah mengatakan tak kenal maka tak cinta dan jika tidak ada kasih sayang hubungan akan hambar, kaku bahkan beku sehingga kita tidak menghiraukan keindahan dan manfaat teman. Al-Quran memperkenalkan dirinya, tidakkah anda mahu berkenalan dengannya? Ramadan karim.

Wednesday, September 2, 2009

Puasa didik rohani jauhi sifat keji


Oleh Nik Salida Suhaila Nik Saliehsalidasuhaila99@yahoo.com

Bharian.com.my 030909


Ramadan ajak ummah rasai keperitan hidup golongan kurang kemampuanKESERONOKAN beramal pada Ramadan semakin terasa selepas lebih 10 hari berpuasa. Umat Islam juga mula memahami bahawa bukan berpuasa saja ibadah yang boleh dilakukan pada bulan rahmat ini, tetapi juga amalan lain seperti bersedekah, beriktikaf, bertadarus, menunaikan umrah dan qiyam pada malam sunyi, mudah-mudahan mendapat rahmat lailatul qadar dan sebagainya. Puasa juga mendidik rohani agar menjauhi semua sifat terkeji yang didalangi iblis. Amalan bersedekah seperti memberi makan orang berbuka puasa, sudah menjadi rutin umat Islam. Dulu, amalan ini dilakukan kepada anak yatim dan golongan miskin, tetapi hari ini ramai dermawan menunaikan hajat dengan bersedekah di surau atau masjid tanpa mengira golongan disasarkan. Anak yatim dan orang miskin sudah mewah dengan juadah berbuka yang diadakan di hotel, bahkan mereka diberikan lagi duit raya walau Ramadan baru sehari dua.
Seperti dimaklumi, salafus salih seperti Abdullah bin Umar, Dawud Ath-Tha'i, Malik bin Dinar, Ahmad bin Hambal, Hasan Al-Bashri, Ibnul Mubarak dan lain-lain lagi sentiasa berlumba-lumba memberi makan dan mereka lebih mengutamakannya daripada ibadah lainnya sama ada dengan memberi makan orang lapar atau memberi makan saudara yang salih, bukan semata-mata seseorang fakir saja. Keadaan ini berlarutan walaupun selepas Ramadan kerana nikmat berkasih sayang dengan membantu sesama mukmin mendekatkan diri mereka dengan Allah SWT. Dalam sebuah hadis diriwayatkan At-Timizi (dengan sanad hasan), Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Siapa saja di antara orang mukmin yang memberi makan saudaranya sesama mukmin yang lapar, nescaya Allah akan memberinya buah-buahan syurga. Siapa saja di antara orang mukmin memberi minum saudaranya sesama mukmin yang dahaga, nescaya Allah memberinya minuman Rahiqul Makhtum." Sekiranya umat Islam menghayati nikmat kehambaan dan merasai manisnya iman kerana berbuat baik sesama Muslim, pasti semuanya tidak melepaskan peluang Ramadan kali ini untuk menunaikan hajat saudara yang kurang berkemampuan, atau sekurang-kurangnya mengurangkan beban orang susah.
Sikap bermurah hati pada Ramadan pula sangat terpuji, seperti Rasulullah SAW yang sangat dermawan, terutama pada Ramadan. Baginda juga menasihati sahabat supaya berkongsi kegembiraan dan rezeki dengan orang lain yang kurang berkemampuan merasai hidangan yang mereka hajati dan sukai kerana takutkan Allah semata-mata, bukan untuk sebarang balasan atau ucapan terima kasih. Firman Allah SWT dalam Surah Al-Insaan, yang bermaksud: "Dengan sebab (mereka menjaga diri dari kesalahan), maka Allah selamatkan mereka daripada kesengsaraan hari yang demikian keadaannya, serta memberikan kepada mereka keindahan yang berseri-seri (di muka) dan perasaan ria gembira (di hati). Dan kerana kesabaran mereka (mengerjakan suruhan Allah dan meninggalkan larangan-Nya), mereka dibalas oleh Allah dengan syurga dan (persalinan dari) sutera." Orang melakukan sesuatu yang boleh menggembirakan orang lain kerana pemberian dan pengorbanannya tentulah lebih gembira daripada orang yang menerima. Kepuasan dirasai apabila melihat orang lain bahagia dengan apa diperoleh. Dalam sebuah hadis diriwayatkan oleh Ahmad dan An-Nasai serta dinyatakan sahih oleh Al-Albani, Rasulullah SAW bersabda yang mafhumnya: "Barang siapa menyediakan makanan berbuka bagi orang yang berpuasa, nescaya ia akan mendapat pahala seperti orang yang berpuasa tanpa mengurangi pahala orang berpuasa itu sedikit pun." Tidak perlulah kita memberikan sedekah dalam jumlah besar jika berniat untuk menunjuk-nunjuk kebaikan kepada orang lain supaya dipuji, atau dikatakan baik hati, sedangkan tiada sedikit pun rasa kehambaan dalam diri. Orang yang ikhlas dalam menunaikan ibadah ialah orang yang seboleh mungkin cuba ingin berkongsi ketakwaannya dengan dirinya sendiri saja, bukan dengan orang lain.
Jika tidak mampu menghulur wang, cukuplah sekadar beberapa butir kurma, jika itu dapat mengurangkan beban orang yang tidak berkemampuan. Jika tidak mampu juga, mungkin tidak salah mengorbankan masa dan keringat, membantu menyediakan juadah dan menghidangkan makanan kepada orang berbuka puasa, moga-moga diterima Allah SWT sebagai amal ibadah dan sedekah. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh At-Tirmizi dari Anas r.a, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Seutama-utama sedekah adalah pada Ramadan." Penulis ialah Pensyarah Kanan Fakulti Undang-Undang dan Syariah Universiti Sains Islam Malaysia

Nur Ramadan: Mencicip makanan tak batalkan puasa

AGAMA
Nur Ramadan: Mencicip makanan tak batalkan puasa

ABDULLAH bin Abbas berkata: "Tidak mengapa, yakni tidak batal puasa seseorang, jika ia mencicip kuah yang ada di dalam belanga atau makanan, asalkan sekadar mencicip bukan disebut 'makan'." Ibnu Masud berkata: "Jika seseorang dari kamu semua berpuasa, berpagi-pagilah (berdandan) dengan keadaan wangi serta rambut disikat rapi." (Sahih Bukhari).

Tadabbur ayat-ayat al-Quran

Oleh MOHD. NORZI NASIR

030909 Utusan Malaysia
KELIBAT 10 hari pertama Ramadan telah berlalu meninggalkan umat Islam. Kalangan tetamu Ramadan antaranya terus melaksanakan ibadah solat fardu masing-masing di samping menghidupkan waktu siang dan malam Ramadan dengan melipat-gandakan amalan-amalan sunat yang lain.
Pelbagai aktiviti Ramadan berbentuk praktikal barangkali turut dilakukan seperti kunjung mengunjung mengeratkan tali silaturrahim sesama Muslim, bersedekah, memberi makan orang yang berpuasa, fakir miskin dan anak-anak yatim.
Sewajarnya umat Islam melakukan penilaian sama ada setiap hari atau setidak-tidaknya seminggu sekali terhadap puasa yang telah dijalani. Nilaian terhadap puasa yang dilakukan berdimensi amal lahiriah dan batiniah.
Amalan lahiriah berdimensikan sosial, manakala amalan batiniah berdimensikan niat ikhlas kerana Allah ke arah mencapai ketaqwaan yang sebenar. Di sinilah tersiratnya pengertian sabda baginda yang bermaksud, Sesiapa yang melaksanakan puasa Ramadan dengan penuh keimanan dan penuh kesedaran nescaya diampuni dosa-dosanya yang lalu. (riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Menilai tingkat tadabbur terhadap ayat-ayat al-Quran
Ramadan al-Mubarak pastinya menggamit memori sejarah besar bagi seluruh Umat Islam lantaran di dalam bulan inilah berlakunya penurunan al-Quran atau disebut sebagai Nuzul al-Quran.
Firman Allah SWT yang bermaksud: Bulan Ramadan adalah bulan yang di dalamnya diturunkan al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeza (antara yang hak dan yang batil). (al-Baqarah: 185)
Al-Quran diturunkan untuk dihayati setiap perkatan dan bait-bait maksudnya. Firman Allah yang bermaksud: (Al-Quran ini) sebuah Kitab yang Kami turunkan kepadamu (dan umatmu Wahai Muhammad), -Kitab yang mempunyai banyak faedah-faedah dan manfaatnya, untuk mereka memahami dengan teliti kandungan ayat-ayat-Nya, dan untuk orang-orang yang berakal sempurna sebagai peringatan dan iktibar. (Shaad: 29)
Kefahaman yang tepat dan mendalam terhadap isi kandungan al-Quran akan menjadikan seseorang hamba itu bertambah teguh keimanannya kepada Allah SWT. Dr. 'Aid Ibn Abdullah Al Qarni mengatakan: "Seseorang itu tidak dianggap membaca al-Quran jika tidak menghayati (tadabbur) apa yang dibacanya kerana tadabbur merupakan sesuatu yang penting dalam kehidupan manusia. Tadabbur melahirkan iman, menanamkan keikhlasan dalam hati dan memberikan ruang dan dapatan ilmu kepada manusia tentang ketauhidan.
"Keyakinan dan keutuhan seseorang itu kepada Allah SWT akan semakin bertambah cantik sekiranya menghayati setiap untaian kalam Allah SWT". (Sejenak Bersama Hidangan Al-Quran)
Selain itu, hafalan ayat-ayat Allah SWT di samping tadabbur merupakan usaha yang sangat efektif untuk mengecapi roh al-Quran. Natijah istiqamah dalam gerak kerja murni ini akan memberi kekuatan bagi setiap hamba dalam mengharungi mehnah dan tribulasi yang menimpa dalam kehidupan.
Namun persoalannya adakah setiap dari kita berusaha memperoleh nikmat kefahaman dan tadabbur yang dinyatakan dalam setiap tilawah yang dibaca, tidak berusaha memahami dan memikirkan isi al-Quran?
Firman Allah SWT yang bermaksud: (Setelah diterangkan yang demikian) maka adakah mereka sengaja tidak berusaha memahami serta memikirkan isi al-Quran? Atau telah ada di atas hati mereka kunci penutup (yang menghalangnya daripada menerima ajaran al-Quran)? (Muhammad: 24)
Berapa ramai pembaca al-Quran yang membaca ayat-ayat al-Quran, namun akhlaknya tidak meneladani akhlak nabi SAW serta kehidupannya jauh dari garapan dan ajaran al-Quran al-Karim. Mereka membaca al-Quran sebagaimana puak al-khawarij membaca al-Quran.
Bacaan al-Quran mereka tidak meruntun dan menyelinap masuk ke dalam hati sanubari dan hanya mengikut desakan hawa nafsu semata-mata.
Ali r.a pernah berkata bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud: Pada akhir zaman kelak akan muncul kaum yang muda usia dan lemah akalnya. Mereka berkata-kata seolah-olah mereka adalah manusia yang terbaik. Mereka membaca al-Quran tetapi tidak melepasi kerongkong mereka. Mereka keluar dari agama sebagaimana anak panah menembusi binatang buruan. Apabila kamu bertemu dengan mereka, maka bunuhlah mereka kerana sesungguhnya, membunuh mereka akan mendapat ganjaran pahala di sisi Allah pada hari kiamat. (riwayat al-Imam al-Bukhari, Muslim, al-Nasai, Abu Daud)
Tadabbur ayat doa
Mengisi bingkisan bicara sunnah Ramadan al-Mubarak kali ini, melalui kupasan tafsiran ringkas dan beberapa hadis Rasulullah, sama-sama kita mentadabbur intisari ayat doa (al-Baqarah: 186) dalam potongan ayat puasa dalam al-Quran.
Tadabbur bermaksud usaha memahami setiap ayat-ayat al-Quran yang dibaca atau didengar, disertai kekhusyukan hati dan anggota badan seterusnya dibuktikan dengan cara mengamalkannya atau mempraktikkannya.
Kupasan Ringkas
Ayat 186 ini difirmankan oleh Allah SWT setelah ayat perintah berpuasa dan ayat yang menerangkan tentang kelebihan bulan Ramadan, hikmah penurunannya dalam bulan Ramadan serta beberapa hukum berkaitan puasa pada ayat 183,184,185 surah al-Baqarah.
Setelah itu maka datanglah ayat doa iaitu ayat 186 melalui firman Allah SWT yang bermaksud: Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): Sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila ia berdoa kepada-Ku. maka hendaklah mereka menyahut seruan-Ku (dengan mematuhi perintah-Ku), dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku supaya mereka menjadi baik serta betul. (al-Baqarah: 186)
Doa: manifestasi keimanan kepada Allah
Doa merupakan manifestasi keimanan kepada Allah SWT. Ia secara psikologi berfungsi sebagai sumber harapan dan motivasi yang sangat penting dalam kehidupan manusia. Ia dapat menghadirkan cinta hamba kepada Allah SWT dalam rutin kehidupan sehari-hari pembaca, pada setiap langkah dan tarikan nafas hela pembaca yang mendamba cinta Allah dan Rasul-Nya.
Menurut Ibn Kathir, ayat ini diletakkan di antara ayat-ayat hukum puasa sebagai petunjuk agar setiap muslim bersungguh-sungguh dalam berdoa setelah menyelesaikan jumlah hari berpuasa dalam sebulan, bahkan anjuran berdoa pada setiap kali waktu berbuka.
Ketika menafsirkan ayat ini Ibn Kathir telah menukilkan hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Abu Hatim yang menyatakan bahawa seorang Arab Badawi bertanya kepada Rasulullah SAW: Wahai Rasulullah, adakah Tuhan kita itu dekat dan kita dapat bermunajat kepada-Nya atau Tuhan itu jauh dan kita perlu menyeru-Nya? Rasulullah SAW terdiam seketika dan turunlah ayat ini. (Tafsir Ibn Kathir, al-Imam al-Tabari dalam tafsirnya Tafsir al-Tabari menyebutkan riwayat yang sama seperti yang dibawa oleh Ibn Kathir).
Abu Hurayrah r.a berkata Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Tiga golongan yang tidak ditolak doanya iaitu imam yang adil, orang yang berpuasa sehingga dia berbuka puasa dan doa orang yang dizalimi". (Riwayat Abu Dawud al-Tayalisi dalam musnadnya)
Daripada Abdullah ibn 'Amr dia berkata: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Bagi orang yang berpuasa doanya dimakbulkan (diperkenankan) ketika saat berbuka". (riwayat Abu Dawud al-Tayalisi dalam musnadnya]
Daripada Abu Musa al-Asy'ari r.a. dia berkata: Kami bersama-sama Rasulullah SAW di dalam perperangan, setiap kali kami menaiki bukit dan mendakinya, serta menuruni lembah, kami akan mengangkat suara dengan bertakbir. Rasulullah SAW mendekati kami dan bersabda: Wahai manusia, bersederhanalah pada diri-diri kamu (tidak terlalu mengangkat suara). Ini kerana kamu tidaklah menyeru sesuatu yang pekak mahupun yang tiada, sesungguhnya yang kamu seru atau doakan adalah yang paling hampir dengan kamu daripada leher unta. Wahai Abdullah ibn Qays hendakkah kamu jika aku ajarkanmu suatu kalimah yang merupakan perbendaharaan syurga? (iaitu) kalimah La Hawla Wa Quwwata Illa Billah. (riwayat al-Bukhari)
Al-Imam Malik r.a meriwayatkan dari Abu Hurairah bahawa Rasulullah SAW bersabda: Doa seseorang di antara kamu akan dikabulkan selama dia tidak meminta untuk dipercepat dengan mengatakan, "Aku sudah berdoa, namun doaku tidak dikabulkan". (riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Daripada Anas r.a, bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Allah SWT berfirman, Wahai anak Adam, satu untukmu, satu untuk-Ku, dan satu antara Aku dan kamu. Satu empunya-Ku ialah hendaklah kamu menyembah-Ku dan tidak menyekutukan Aku dengan sesuatu. Manakala satu empunyamu ialah apa jua yang kamu amalkan akan Aku tepati. Dan yang satu antara Aku dan kamu ialah, kamu yang berdoa dan Aku yang mengkabuIkannya". (riwayat al-Imam al-Bazzar)
Sebagai kesimpulan, Ramadan al-Mubarak tidak hanya berfungsi sebagai bulan menjalani ibadah puasa semata-mata. Ia merupakan madrasah intensif dan proses perjalanan seseorang hamba menjalani ibadah puasa dengan iringan doa berterusan di samping menghidupkan amalan-amalan sunat pada setiap malamnya.
Tanpa doa, ibadah yang dilakukan seakan-akan tidak mencapai haknya dan barangkali seorang hamba tidak akan mengecapi sesuatu yang dihajati seperti memohon keampunan dan pembebasan dari azab api neraka pada hari kiamat.
Wallahu A'laam.

Tuesday, September 1, 2009

Nur Ramadan: Hukum bersetubuh pada siang Ramadan

Nur Ramadan: Hukum bersetubuh pada siang Ramadan
Bharian.com.my 010909
ABU Hurairah, berkata, “Ketika kami duduk di sisi Nabi SAW, tiba-tiba datang seorang lelaki menemui baginda, lalu berkata: Ya Rasulullah, aku telah binasa dan sengaja membuat bencana”. Nabi bersabda: “Apa yang terjadi”. Orang itu berkata: “Aku menyetubuhi isteriku, sedangkan aku berpuasa”. Rasulullah bersabda, “Adakah anda mempunyai hamba perempuan untuk dimerdekakan? Lelaki itu menjawab: “Tidak punya”. Sabda Nabi lagi: “Adakah anda mampu berpuasa dua bulan berturut-turut iaitu tidak berbuka sehari pun dalam tempoh dua bulan”, Jawabnya: “Tidak mampu’. Sabda Nabi lagi: “Adakah anda memiliki makanan untuk 60 penduduk miskin,” Jawabnya: “Tidak punya makan sebanyak itu”. Nabi terdiam, kami semua berdiam diri, tiba-tiba disampaikan kepada Nabi SAW sekarung kurma. Nabi bersabda: ”Mana lelaki yang bertanya tadi?”. Lelaki itu berkata: “Akulah orang itu”. Sabda Nabi, “Ambil semua kurma ini dan sedekahkan”. Lelaki itu bertanya,” Apakah wajib bersedekah kepada orang yang lebih fakir atau miskin dari diriku? Ya, Rasulullah, Demi Allah, tiada satu keluarga pun yang berada di antara (sempadan) Madinah ini lebih miskin dari keluarga ku. Mendengar itu, Nabi SAW tertawa sehingga jelas nampak beberapa gigi taringnya kerana hairan mendengar keterangan sahabat yang amat miskin itu. Beliau terus bersabda,” Kalau demikian, berikanlah makanan itu kepada keluargamu saja - iaitu anak isteri anda,” 1839 Sahih Bukhari.